Sunday, December 19, 2010

Qadha solat fardhu

Soal Jawab Agama
            Saya pernah tertinggal beberapa waktu solat terutamanya fardhu subuh dan isyak. Saya jadi amat gelisah sekiranya belum dapat menggantikannya. Namun saya ragu-ragu sama ada solat fardhu boleh diqadha atau tidak kerana saya pernah terbaca bahawa solat fardhu tidak boleh diqadha. Dalam hal ini saya ingin kepastian boleh atau tidak bolehkah saya mengqadha solat yang tertinggal. Jika boleh, apakah niat dan bilakah waktu yang sesuai menunaikannya?
 
            Keliru, Pontian
 
Jawapan:
Mengqadha solat bererti melaksanakan solat fardhu di luar waktunya sebagai ganti kerana tidak melaksanakan solat dalam waktunya. Terdapat tiga sebab mengapa seseorang itu mengqadha solat:
Pertama ialah sebab di luar kawalan dirinya, seperti lupa, tertidur, tersilap mengira waktu solat dan menghadapi suasana darurat yang melibatkan hidup dan mati (life and death situation). Dalam kes pertama ini, dia diwajibkan qadha dan tidak ada perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan. Hendaklah dia mengqadha sebaik sahaja keadaan mengizinkan dan hendaklah dia melaksanakan solat qadha sebelum solat fardhu. Ertinya, jika tertinggal solat Asar dan hanya teringat dalam waktu Maghrib, maka hendaklah melaksanakan solat Asar kemudian solat Maghrib. Ada pun niat, syari‘at Islam tidak pernah menuntut apa-apa bacaan atau lafaz niat bagi sesuatu ibadah, yang dituntut ialah seseorang itu mengetahui apa yang akan dilakukannya dan dia melakukannya secara ikhlas kerana Allah.
Kedua ialah kesukaran untuk melaksanakan rukun-rukun solat, seperti ketiadaan air untuk berwudhu’, tidak tahu arah kiblat, tidak menemui tempat untuk solat, tiada pakaian yang sesuai untuk solat dan tidak dapat melakukan pergerakan solat (berdiri, sujud atau rukuk). Bagi kes kedua ini, tidak boleh mengqadha solat kerana syari’at Islam telah sedia menggariskan beberapa kelonggaran rukun solat bagi orang yang menghadapi kesukaran. Maka hendaklah mengamalkan kemudahan rukun tersebut, bukan meninggalkan solat sama sekali untuk diqadha pada masa yang lain.
Ketiga ialah kerana malas atau terikut dengan hawa nafsu. Ertinya dia tidak solat semata-mata kerana malas atau lebih mengutamakan menonton TV dari solat. Untuk kes ketiga ini, terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan Islam dan ia menghasilkan dua pendapat. Pendapat pertama ialah dia tetap wajib qadha’ solat yang ditinggalkan itu. Pendapat kedua ialah dia tidak wajib qadha, sebaliknya hendaklah dia bertaubat kerana telah melakukan dosa besar.
Sekali pun yang masyhur di Malaysia ialah pendapat pertama, kajian saya mendapati pendapat kedua adalah lebih kuat. Mewajibkan qadha tidak akan mengubah sikap orang yang tidak solat kerana malas dan hawa nafsu. Sepanjang hidupnya dia akan asyik mengqadha, bahkan mungkin pada satu masa nanti dia akan tidak mengqadha langsung kerana mengalah kepada sebab yang sama, iaitu malas dan hawa nafsu. Sebaliknya mewajibkan taubat menuntut orang itu untuk mengubah sikap kepada berdisiplin dalam melaksanakan solat lima kali sehari dalam waktunya.
Demikian secara ringkas. Dalil-dalil al-Qur’an dan hadis bagi permasalahan mengqadha solat boleh dirujuk dalam buku saya “Panduan Ibadah dalam Musafir Penerbangan” terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

No comments:

Post a Comment